SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Usah untuk menuntut keadilan kes kematian adik Zara Qairina turut mendapat perhatian rakyat di beberapa negara termasuk Thailand.
Kematian remaja berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara, malah mengundang solidariti orang ramai sehingga menular ke Thailand.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan gagal melaksanakan tugas asas untuk menjaga kepentingan rakyat sendiri.
Katanya kes adik Zara sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi apabila pihak berwajib seolah-olah tidak begitu mengendahkannya sebelum ini.
"Banyak perkara yang patut dilaksanakan seperti post-mortem yang menjadi sebahagian SOP kematian 'mengejut' tetapi tidak dibuat,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun hasil desakan pelbagai pihak termasuk keluarga arwah dan netizen, akhirnya post-mortem dilakukan selepas jenazah adik Zara dikebumikan hampir tiga minggu.
Zara Qairina, 13, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu, Sabah dilaporkan tidak sedar diri selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Bagaimanapun Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Kamarudin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan punca kematian yang berlaku secara mengejut.
“Keadaan yang berlaku itu merupakan titik hitam kepada sejarah negara,” ujarnya.
0 Comments