![]() |
AMMAN (Jordan): Seramai 182 pelajar Malaysia dari pelbagai negeri menghadiri Konvensyen Transformasi Mahasiswa Rabbani Murabbi Timur Tengah 2025 (TAMAR’25).
Program tersebut diadakan ASU Universiti, Amman Jumaat lepas.
Anggota Exco Kerajaan Kelantan Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, konvensyen tersebut pertama kali diadakan bagi menghimpunkan mahasiswa universiti di Jordan.
Katanya, konvensyen terbabit diadakan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, membina jaringan ukhuwah dan memperkukuh peranan sebagai Rabbani Murabbi dalam usaha membimbing ummah.
“Pada program itu diadakan sesi perkongsian ilmiah dan dialog terbuka bersama pimpinan kerajaan Kelantan serta sesi pembentangan oleh mahasiswa Jordan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Wan Roslan turut diundang sebagai panel jemputan pada program berkenaan bersama Timbalan Menteri Besar Dato’ Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Turut hadir Menteri Penasihat (Pendidikan) yang juga Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof Madya Dr Radzuwan Ab Rashid.
Rombongan kerajaan Kelantan ke Jordan turut disertai Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Zulkifle Ab Rahman, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Nik Hashim.
Selain itu Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Prof Dr Mazlan Ibrahim, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan Razuan Awang Hamad dan pegawai kanan YIK.
Sempena program tersebut juga diadakan penyampaian sumbangan YAKIN, YIK serta sumbangan peribadi Dr Mohamed Fadzli kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ).
Pada lawatan berkenaan rombongan kerajaan Kelantan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Jordan, Mohamad Nasri Abdul Rahman di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
Wan Roslan berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan berkaitan akademik dan kebajikan pelajar Kelantan di Jordan.
“Selain itu meneroka peluang pendidikan baharu yang boleh dimanfaatkan demi memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pendidikan antara Kelantan dan Jordan,” ujarnya.
0 Comments