Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar dan Exco
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar dan Exco
KOTA BHARU, 19 Ogos – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 bukan sekadar acara sukan semata-mata, sebaliknya menjadi manifestasi tekad bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam memperkukuh perpaduan rakyat serta membangunkan infrastruktur sukan bertaraf kebangsaan di Kelantan.
Demikian kata Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya usaha ini akan memberi manfaat bukan sahaja dari aspek sukan, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Insya-Allah, dengan doa dan kerjasama semua pihak, SUKMA 2028 akan menjadi temasya terbaik dalam sejarah penganjurannya di negeri Kelantan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, semalam.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Induk Pengelola SUKMA Kelantan 2028 yang diadakan di Bilik Gerakan Mabna-MBI, Kompleks Kota Darulnaim.
Mesyuarat tersebut bertujuan memastikan segala perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur sukan berjalan lancar, menepati jadual dan mencapai piawaian kebangsaan yang ditetapkan.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk menilai semula status pembangunan infrastruktur sukan, khususnya di Madinah Al-Riadah, Bukit Merbau yang akan menjadi pusat tumpuan utama SUKMA 2028.
“Tumpuan diberikan kepada status kerja tanah, pembangunan infrastruktur asas dan perkembangan keseluruhan venue acara sukan,” katanya juga menerusi catatan di media sosialnya, semalam.
Antara projek utama yang dibincangkan termasuk pembinaan Pusat Akuatik Madinah Al-Salam di Kota Bharu, Stadium Hoki di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pusat Skuasy, Gelanggang Lawn Bowl berbumbung serta Arena Tertutup Serbaguna.
Katanya lagi, kesemua fasiliti tersebut bukan sahaja disediakan bagi menghadapi SUKMA 2028, tetapi juga dirancang untuk kegunaan jangka panjang dalam pembangunan sukan di negeri Kelantan.
“Fasiliti moden ini akan membuka lebih banyak ruang kepada atlet tempatan untuk berlatih dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menjadi tarikan kepada masyarakat dan penggiat sukan tempatan,” tambah beliau.
Mesyuarat tersebut turut menegaskan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan persiapan penganjuran SUKMA 2028 disusun rapi, menyeluruh dan berdaya saing.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan, Abdullah Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feissal, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin serta wakil agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
0 Comments