MB Kelantan bawa lima keutamaan rakyat kepada Perdana Menteri


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 10 Ogos – Walaupun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru sahaja dibentangkan, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud proaktif membawa hasrat, keutamaan dan keperluan rakyat negeri itu yang belum diluluskan untuk perhatian Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Dato’ Mohd Nassuruddin, senarai keutamaan pembangunan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan merangkumi lima projek utama demi pembangunan dan keselamatan rakyat.

"Projek tersebut adalah pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dan Pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara," catatnya di media sosial pada Sabtu.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan dan sokongan berterusan kepada negeri Kelantan.


“Saya amat menghargai sokongan dan peruntukan berterusan daripada YAB Perdana Menteri kepada negeri Kelantan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat federalisme yang terus diperkukuh akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara negeri, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat secara inklusif dan berdaya saing.

“Insya Allah, saya optimis dengan menjunjung semangat federalisme, jurang pembangunan dapat dirapatkan sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini secara inklusif dan berdaya saing,” katanya lagi.

Sempena bulan kemerdekaan, beliau menyeru agar semua pihak terus melangkah seiring dalam suasana harmoni dan saling menghormati demi merealisasikan harapan dan aspirasi rakyat.

Terdahulu, Menteri Besar mengiringi Perdana Menteri merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.


Beliau juga mengiringi Perdana Menteri ke majlis perasmian Program Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 yang berlangsung di Dewan Profesional, UiTM Kelantan cawangan Machang pada sebelah pagi.

Seterusnya, pemimpin negeri dan negara meninjau pelaksanaan projek penanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Alami, Kota Bharu.



Post a Comment

0 Comments