NGO kuasa ketiga jayakan agenda Kelantan Futures State 2033


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 9 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan mengiktiraf peranan penting pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai kuasa ketiga dalam membantu Kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata menyedari kepentingan tersebut, Konfederasi NGO Kelantan (KNK) telah berjaya menyelaras dan menggerakkan fungsi semua NGO di negeri ini melalui SIDANG 2025.

Katanya, kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan NGO mampu menjayakan pelaksanaan gerakerja tertentu yang sukar dibuat secara langsung oleh pihak kerajaan.


“Ke mana hala tuju Kelantan? Ramai orang menanyakan soalan ini dengan bernada sinis seolah-olah Islam yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri sering dilihat sebagai tidak mementingkan pembangunan infrastruktur, utiliti dan pembangunan fizikal.

"Persepsi ini salah. Sebab itulah tahun ini, fokus Sidang NGO kita adalah Kelantan Futures State 2033. Kerajaan negeri telah merangka dasar ini manakala melalui Sidang ini, pihak-pihak NGO diharap dapat memahami, menghayati dasar ini dan seterusnya dapat berperanan sebagai ejen pendokong dasar ini,” jelasnya.

YB Zamakhshari juga menjelaskan bahawa apabila sebarang isu berkaitan dasar negeri timbul di pelbagai platform media, pihak NGO yang telah sedia memahami dasar ini wajar tampil memberi penjelasan dan memahamkan rakyat terbanyak.


Terdahulu, Penasihat KNK Dr. Nazmi Ghazali Azmi menyatakan bahawa SIDANG NGO telah bersidang secara dwi tahunan sejak tahun 2015 dalam pelbagai format yang berkembang selaras dengan sambutan dan sokongan padu daripada NGO di Kelantan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa SIDANG 2025 bertemakan "Kelantan Futures State 2023" memfokus kepada 19 Kuasa Penggerak.

"Pihak NGO boleh memainkan peranan dengan melibatkan diri dalam mana-mana satu daripada 19 Kuasa Penggerak tersebut. NGO berperanan besar dalam mencapai matlamat Kelantan Sejahtera 2033.

"Kelantan Futures State ini ialah hasil Kajian dan penyelidikan oleh pakar-pakar dalam universiti tempatan. Negara yang turut mempunyai Dokumen Futures State di rantau ini ialah Singapura. Bahkan di peringkat nasional tidak dibuat kajian sebegini tetapi Kelantan ke hadapan dalam Penyediaan dokumen Futures State ini. Jadi Kelantan mempunyai perancangan yang sama dengan negara maju dalam membuat perancangan untuk kemajuan negeri menjelang 10 tahun akan datang," ujarnya.

Dr. Nazmi menegaskan bahawa kerajaan negeri berharap untuk mendapatkan pandangan dan kerjasama daripada NGO sebagai kuasa ketiga demi mencapai matlamat Kelantan Futures State 2033.

"Semangat kebersamaan inilah yang kita mahukan," katanya dalam ucapan alu-aluan pada SIDANG 2025 kelolaan Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) yang menghimpunkan 500 wakil NGO dari seluruh Kelantan.



Post a Comment

0 Comments