KOTA BHARU: Keupayaan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Tunas Islam (SMITI) melahirkan pelajar cemerlang dan berakhlak Islam sering dicemburui pihak tertentu.
Terbaharu penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Muhammad Faiz Na’aman dilapor supaya institusi pendidikan tersebut wajar dikaji semula status kerana dikhuatiri ‘indoktrinasi’ pengaruh politik secara halus.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, PASTI, SRITI dan SMITI bukan medan politik kepartian.
Sebaliknya ia sebagai institusi pendidikan awal yang mendidik generasi kanak-kanak dengan nilai Islam, akhlak mulia dan asas akademik serta terbukti melahirkan kemenjadian murid yang holistik.
“Menyamakan pendidikan berasaskan Islam dengan istilah ‘penternakan’ adalah penghinaan terhadap usaha pendidikan yang ikhlas serta satu bentuk diskriminasi kepada ibu bapa yang memilih PASTI.
“PAS sebagai sebuah parti politik, dibenarkan dan berkemampuan menjalankan aktiviti yang menyokong aqidah Islam dan nilai-nilai keIslaman dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan pemerintahan,” katanya pada kenyataan.
Menurut laporan laman berita Faiz turut melabelkan PASTI, SRITI dan SMITI sebagai ternak seawal prasekolah.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, perkataan ternak yang digunakan amat dikesalkan.
Kata beliau juga institusi pendidikan terbabit tidak bercanggah dengan Akta Pendidikan atau batasan perlembagaan PAS.
“Sebaliknya, PASTI, SRITI DAN SMITI bertindak sebagai platform pendidikan berteraskan Islam yang dituntut oleh roh perjuangan parti.
“Manakala guru-guru yang berkhidmat di PASTI secara sukarelawan, bukan pekerja bergaji tetap atau formal di bawah struktur penggajian, maka mereka tidak tertakluk kepada mana-mana Akta Perburuhan.
“Segala bantuan atau ‘elaun’ yang diberi berdasarkan insentif sukarelawan, bukan sebagai hak pekerjaan tetap. Kewajipan gaji minimum tidak boleh diaplikasikan kepada mereka,” ujarnya.
Beliau juga berkata, PAS sentiasa komited memastikan program pendidikan memenuhi piawaian ilmiah dan pedagogi, termasuk silibus yang sesuai umur, holistik, pendekatan beretika.
Katanya PASTI adalah institusi pendidikan awal Islam yang sah dan seiring dengan mandat perlembagaan PAS.
0 Comments