Pelajar KIAS sertai misi bina kepimpinan


SUNGAI PETANI: Seramai 40 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menyertai Misi Membina Kepimpinan ke Murthada Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah. 

Lawatan akademik itu memfokus penghayatan nilai kepimpinan Islamik dan pengukuhan jati diri.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras KIAS, Rosnani Ripin berkata, mahasiswa KIAS mengambil alih peranan fasilitator dengan mengendalikan aktiviti kepimpinan berpasukan bersama pelajar MADAD. 

Antaranya perbincangan isu semasa berkaitan kepimpinan Islam; simulasi membuat keputusan secara kolektif; latihan komunikasi dua hala dan projek mini untuk menguji daya kepimpinan. 

“Pengisian itu memberi pengalaman amali kepada peserta tentang bagaimana teori kepimpinan boleh diterjemah dalam bentuk tindakan,” katanya pada program tersebut baru-baru ini. 

Selain itu mahasiswa KIAS turut mengikuti aktiviti refleksi kepimpinan di Gunung Jerai.

Rosnani juga berkata, refleksi itu memperkukuh pemahaman seorang pemimpin perlu mempunyai kesabaran, keberanian, daya tahan emosi dan sikap tolong-menolong.

Kata beliau program itu sebagai jambatan yang menghubungkan teori dan amali kepimpinan.

“Misi membina kepimpinan membuktikan kepimpinan sebagai seni membimbing diri dan orang lain dengan ilmu, akhlak dan visi. 

“Kejayaan program tersebut seiring dengan misi KIAS untuk melahirkan graduan berintegriti, berwawasan dan mampu memimpin masyarakat dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments