Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 17 Ogos – Projek perintis tanaman bawang peringkat negeri Kelantan mencatat kejayaan awal apabila tuaian pertamanya menghasilkan sebanyak 18,400 kilogram.
Projek tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pertanian Malaysia yang melibatkan sepuluh pengusaha di kawasan seluas 4.6 hektar.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata penanaman bawang tersebut dilaksanakan menggunakan dua kaedah penanaman iaitu konvensional dan fertigasi gantung, sekali gus membuktikan potensi besar penanaman bawang di negeri ini.
“Projek ini merupakan inisiatif perintis dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai salah satu pengeluar bawang tempatan yang berdaya saing, di samping membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani tempatan,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.
Menurut beliau lagi, projek ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi teknikal termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta beberapa agensi lain yang berkaitan.
“Langkah ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada bawang import, meningkatkan hasil pengeluaran tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada petani,” ujarnya.
Sementara itu, FAMA Kelantan dalam satu kenyataan di media sosialnya memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa pasar raya terpilih bagi melaksanakan program promosi bawang Kelantan sebagai usaha memperkenalkan hasil tanaman tempatan ini kepada pengguna di seluruh negara.
“Melalui program ini, orang ramai akan berpeluang mendapatkan bawang segar terus dari ladang sambil menyokong usaha petani tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan bawang Kelantan di pasaran,” menurut kenyataan tersebut, pada Khamis.
Tuaian hasil pertama telah disempurnakan oleh Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama Pengarah FAMA Negeri Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria di TKPM Telong, Bachok pada Rabu.
0 Comments