Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
PASIR PUTEH, 11 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM26.33 juta bagi memajukan 3,332.92 hektar tanah terbiar di seluruh negeri, sejak tahun 2006.
Impaknya, ratusan peluang pekerjaan dihasilkan dan meningkatkan keselamatan makanan serta melonjakkan ekonomi luar bandar.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata usaha berterusan itu membuktikan potensi besar sektor pertanian untuk menjana pendapatan rakyat, di samping mengoptimumkan sumber tanah yang sebelum ini tidak dimanfaatkan.
“Matlamat utama ialah meningkatkan tahap sara diri makanan negeri, khususnya sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil bernilai tinggi, sambil memberi manfaat ekonomi terus kepada pengusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Pertanian Projek Pembangunan Tanah Terbiar 2025 di Kampung Gong Tengah, di sini, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa tanaman kekal yang diusahakan termasuk kelapa, durian dan limau madu, manakala tanaman singkat masa melibatkan tembikai, nanas, cili, timun, jagung, melon dan sayur-sayuran.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertanian negeri turut menyumbang secara aktif, antaranya PKPNK (270 ekar di Rong Chenok), KPKB (98.36 ekar), KBC (200 ekar) dan DAMAI (150 ekar).
Dato’ Tuan Mohd Saripudin turut berkongsi kisah kejayaan peserta projek di Kampung Lepan Rambutan, Machang, yang mengusahakan 12.36 ekar tanah terbiar sehingga menghasilkan 200 metrik tan tembikai pada 2024, sekali gus memberi pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Inilah contoh terbaik semangat dan daya usaha rakyat yang mampu mengubah kehidupan melalui hasil bumi sendiri,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria, Pengarah FAMA Negeri Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Kelantan Mohammad Fauzan Mohd dan Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Mohd Hanifa Awang Su.
0 Comments