Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media MAIK
Kredit foto: Unit Media MAIK
KOTA BHARU, 14 September – Seramai 67 orang imam dari 60 buah masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di Kelantan telah terpilih menyertai kursus khas berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan masjid.
Kursus yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu diadakan di sebuah hotel di sini, pada Khamis, sebagai sebahagian daripada inisiatif memodenkan pentadbiran masjid selaras dengan perkembangan teknologi digital.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh MAIK di media sosial, kursus berkenaan bertujuan memperkenalkan teknologi terkini berasaskan AI untuk memperkasa peranan imam serta pentadbir masjid dalam era digital ini.
“Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif MAIK dalam memodenkan pengurusan masjid, di samping memudahkan peranan imam serta pentadbir masjid untuk menyesuaikan diri dengan cabaran era digital,” menurut kenyataan tersebut.
Para peserta turut berpeluang mengikuti sesi perkongsian bersama Ketua Pegawai Eksekutif PFH Resources (M) Sdn Bhd, Ts. Faezal Hysni Arshad, yang memberikan pendedahan berkenaan pelbagai aplikasi dan manfaat teknologi AI dalam konteks pengurusan masjid.
“Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aplikasi dan manfaat teknologi AI yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta memperluas peranan masjid kepada masyarakat,” kata kenyataan itu lagi.
MAIK turut menyatakan harapan agar ilmu yang diperoleh melalui kursus ini dapat diaplikasikan secara efektif dalam usaha memajukan pengurusan masjid serta memberi impak positif kepada pembangunan ummah.
Sebagai badan agama yang bertanggungjawab, MAIK menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh peranan institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pendidikan dan pembangunan masyarakat, selaras dengan arus teknologi semasa.




0 Comments