![]() |
| YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 6 September – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkukuh ekosistem ekonomi syariah dan industri halal negeri melalui penganjuran Seminar Ekonomi Syariah dan Industri Halal Negeri Kelantan 2025, yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, seminar berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan negeri meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ekonomi syariah dan industri halal sebagai keseimbangan antara tuntutan dunia dan akhirat.
“Melalui pembentangan dua kertas kerja oleh Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC) Hairol Ariffein Shaari dan Penyelaras Hal Ehwal Halal, Jabatan Perdana Menteri Datin Paduka Halimah Mohd Yusoff, seminar berkenaan membuka ruang kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan yang turut menyaksikan pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan (MPIH).
Menurutnya, lebih 300 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, swasta, usahawan, pemain industri, institusi pengajian tinggi dan komuniti menghadiri seminar itu yang menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, penyelidikan dan peluang pelaburan dalam ekonomi Islam serta industri halal.
YB Mohd Asri turut berkongsi pencapaian Malaysia di peringkat global apabila eksport produk halal negara mencapai RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding RM53.72 bilion pada 2023.
“Malaysia kekal di kedudukan nombor satu dalam Indikator Ekonomi Islam Global untuk tahun ke-10 berturut-turut, mengatasi negara seperti Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kejayaan ini berpunca daripada sistem pensijilan halal yang mula dipelopori sejak 1974 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mempercepat proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain menggalakkan lebih banyak premis menyertainya.
“Setakat 2025, lebih 400 premis di Kelantan telah memperoleh SPHM, termasuk 52 pengusaha bukan Islam. Ini membuktikan keyakinan terhadap pensijilan halal yang memberi jaminan kebersihan serta pematuhan piawaian,” katanya sambil mengingatkan agar pengusaha memperbaharui sijil halal sebelum tamat tempoh.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Halal Park Pasir Mas seluas 108 ekar kini dibuka kepada pemain industri halal, termasuk pelabur asing.
“Masih terdapat kira-kira 20 lot kosong dan kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur dari dalam dan luar negara, termasuk Singapura, untuk menjadikan Halal Park sebagai pusat edaran produk halal serantau,” katanya.



0 Comments