Cabaran Mr Awang Selamat 2025: DAMAK tonjol gaya hidup sihat anak muda


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 21 September – Cabaran Mr Awang Selamat Kelantan 2025 menzahirkan aspirasi Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) yang menekankan gaya hidup sihat berasaskan disiplin latihan, pemakanan seimbang dan saringan kesihatan berkala.

Pertandingan tahunan anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) itu berlangsung meriah di ruang legar AEON Mall Kota Bharu, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan negeri melahirkan generasi muda yang cergas, berakhlak dan berdaya saing.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata Mr Awang Selamat semakin berkembang sebagai platform mencungkil bakat muda serta mendidik mereka dengan disiplin hidup sihat.


“Program ini bukan sahaja mencungkil bakat anak muda dalam bidang kecergasan, bahkan ia dilaksanakan berteraskan disiplin, pematuhan syariah dan nilai akhlak yang luhur. Inilah wajah baharu sukan bina badan di Kelantan,” katanya ketika merasmikan pertandingan itu semalam.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2016, Mr Awang Selamat menjadi ikon bina badan patuh syariah di Malaysia, membuktikan sukan moden mampu digarap seiring tuntutan agama. Peserta tampil dengan busana sopan seperti seluar silat, tanpa menjejaskan elemen kompetitif pertandingan.

Lebih penting, jelas YB Zamakhshari, penganjuran itu menyokong agenda Membangun Bersama Islam (MBI) dengan menekankan adab, maruah dan etika sukan. Ia juga seiring hala tuju Kelantan Futures State 2033 yang menyasarkan negeri ini sebagai hab kecergasan patuh syariah peringkat kebangsaan.


Pertandingan anjuran U-BeS dengan kerjasama Pertubuhan Awang Selamat Anak Kelantan (PASAK), Department of Arts, Culture and Sport (DACS) serta rakan strategik itu mempertandingkan kategori Mr Awang Selamat Kelantan (Terbuka & Tertutup) mengikut berat badan, dan Open Man Physique mengikut ketinggian.

Acara tersebut turut menerima sokongan penaja utama, COSMOS International Consultancy Sdn. Bhd., dengan AEON Mall selaku tuan rumah serta sumbangan pelbagai penaja bersama yang memastikan kelancaran penganjuran.

“Semoga pertandingan ini terus berkembang di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus mengangkat Kelantan sebagai rujukan utama sukan bina badan patuh syariah di Malaysia,” ujar YB Zamakhshari.



Post a Comment

0 Comments