KIAS rangka strategi ke arah universiti penuh


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 21 September – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kini sedang merangka strategi komprehensif ke arah penubuhan universiti penuh.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata langkah itu disifatkan signifikan dalam memperkukuh peranan negeri Kelantan sebagai pusat keilmuan Islam bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, usaha itu digerakkan secara teliti dengan penekanan kepada kualiti pengajaran, perluasan bidang penyelidikan serta jaringan kerjasama akademik di dalam dan luar negara.

“Pembangunan infrastruktur, penambahan tenaga akademik berkepakaran dan penambahbaikan sistem pentadbiran turut menjadi agenda utama bagi memastikan KIAS bersedia memenuhi piawaian sebuah universiti penuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan universiti penuh berteraskan Islam bukan sahaja akan mengangkat kedudukan Kelantan sebagai pusat pendidikan tinggi, malah berpotensi menarik minat pelajar dan penyelidik dari seluruh dunia.


“Dengan sokongan padu semua pihak, kita yakin matlamat menjadikan KIAS sebuah universiti penuh akan tercapai, seterusnya menjadi mercu tanda kebanggaan negeri dan ummah,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan tinggi sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Kelantan.

Antara inisiatif tersebut ialah penyediaan dana khas untuk geran penyelidikan pensyarah KIAS, dengan matlamat menghasilkan dapatan kajian yang mampu memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri dan masyarakat setempat.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk biasiswa, dermasiswa serta pinjaman pendidikan bagi memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak Kelantan dapat menimba ilmu tanpa halangan, seterusnya kembali menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga menyeru graduan agar menguasai kemahiran baharu, termasuk bidang keusahawanan, inovasi, teknologi Islam dan ekonomi halal yang kini sedang berkembang pesat.

“Jangan hanya menunggu peluang kerja, sebaliknya cipta peluang baharu agar dapat menjadi peneraju dalam sektor yang sedang berkembang ini,” tegasnya.

Untuk rekod, sejak penubuhannya lebih suku abad lalu, KIAS telah melahirkan 6,770 graduan dalam pelbagai bidang termasuk ilmuwan Islam, imam, pendidik, pegawai hal ehwal agama serta pemimpin komuniti.

Post a Comment

0 Comments