Tema tradisi Melayu meriahkan Karnival Cakna Rakyat di 3 DUN


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media PKD

KOTA BHARU, 21 September – Karnival Cakna Rakyat semalam berubah menjadi pesta warna-warni warisan apabila ribuan pengunjung hadir dengan busana tradisional Melayu Kelantan lengkap dengan kain pelikat, batik, sampin dan tanjak – sekali gus menghidupkan kembali suasana zaman silam di tengah komuniti hari ini.

Lebih istimewa, karnival anjuran Pejabat Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu berlangsung serentak di tiga kawasan Parlimen Tumpat iaitu Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Bharu, menjadikan ia program rakyat berskala besar yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob dalam ucapan perasmian berkata, pemilihan tema tradisional amat signifikan kerana ia mengangkat semula warisan budaya negeri.


“Tema ini bukan sahaja mengembalikan warisan budaya Melayu Kelantan, malah membolehkan generasi muda mengenali dan menghargai adat resam serta seni nenek moyang,” katanya.

Sementara itu, ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan, menegaskan semangat perpaduan yang dizahirkan sepanjang karnival wajar diteruskan.

“Terima kasih kepada semua yang membuat persiapan. Setiap zon tampil dengan khemah masing-masing. Semangat ini perlu diteruskan kerana kekuatan kita adalah pada perpaduan,” katanya ketika merasmikan program di Maahad Muhammadi Tumpat.


Pelbagai acara menarik memeriahkan karnival, antaranya perbarisan kontinjen setiap zon, persembahan silat, sukaneka pelbagai peringkat umur, pameran agensi serta pertandingan khemah tercantik.

Selain menjadi pentas budaya, karnival itu turut menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri menerusi penyampaian bantuan termasuk Skim Cakna Suri untuk suri rumah, Skim Pendidikan Yatim untuk anak-anak yatim, bantuan pesakit kronik serta pelbagai sumbangan lain.




Post a Comment

0 Comments