MPIH Kelantan penyelaras utama agenda halal negeri


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 4 September – Penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan (MPIH) dijangka menjadi penyelaras utama agenda halal negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai antara pemain penting dalam industri halal negara.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, MPIH yang diluluskan pada 12 Mac 2025 akan berperanan menyelaras, memantau dan menggerakkan pembangunan industri halal negeri secara lebih sistematik, inklusif dan bersepadu.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

“MPIH akan menjadi platform integrasi strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pemain industri dalam memperkasa ekosistem halal negeri. 

"Saya yakin, usaha ini akan melonjakkan Kelantan sebagai penyumbang utama ke arah menjadikan Malaysia peneraju halal global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran MPIH dan Seminar Ekonomi Syariah serta Industri Halal Negeri Kelantan 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, kekuatan identiti negeri yang berpaksikan syariat Islam, pendidikan agama yang6 kukuh serta jaringan usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang dinamik memberi asas teguh kepada Kelantan untuk mengembangkan industri halal.

“Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk mewajibkan sijil halal bagi premis tertentu dalam proses pembaharuan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), memperluaskan pensijilan halal kepada industri kotej, serta membimbing usahawan menaik taraf perniagaan mereka,” jelas beliau.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak sepuluh usahawan menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). 

Manakala Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pula mengumumkan penubuhan Pusat Halal KIAS yang menawarkan kursus profesional halal dengan pengiktirafan JAKIM.

Antara sepuluh usahawan menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) pada majlis yang berlangsung hari ini di Kota Bharu

Turut hadir, mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feisal.

Post a Comment

0 Comments