Kelantan Sertai Persidangan Bebas Asap Rokok Asia Pasifik di Vietnam


HUE CITY, VIETNAM – Kelantan menyertai 9th Smoke-Free Asia-Pacific Meeting yang berlangsung pada 28–29 Ogos lalu di Hue City, Vietnam, bagi memperkukuh dasar pelancongan bebas asap rokok, melindungi kesihatan awam, memelihara nilai budaya serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA), Viet Nam Tobacco Control Fund (VNTCF) dan Kementerian Kesihatan Vietnam, dengan tema “Smoke-Free Destinations: Transforming the Tourism Sector in the Asia-Pacific Region.” Ia menampilkan perkongsian mengenai pencapaian serta cabaran dalam membina destinasi yang lebih bersih dan lestari di rantau ini.

Delegasi Kelantan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, YB Hilmi Abdullah, bersama Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, pegawai Jabatan Kesihatan Negeri, pakar perubatan keluarga daripada Family Medicine USM (FAMOUS) serta doktor pakar kesihatan awam.


Ketika ditemui, YB Hilmi berkata penyertaan Kelantan melalui Inisiatif Bebas Asap Rokok (IKBAR) membuktikan komitmen negeri dalam memerangi isu tembakau dan vape. Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2013, IKBAR digerakkan berasaskan empat tonggak utama iaitu pendidikan dan advokasi, peluasan zon bebas asap rokok, pemberdayaan sokongan berhenti merokok, serta pengukuhan instrumen perundangan.

“Cabaran utama kini ialah peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja, meskipun tiada lesen perniagaan vape dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Justeru, kita menyokong gesaan SEATCA agar kawalan rentas sempadan, sekatan pemasaran dan penguatkuasaan terhadap produk tidak sah diperketatkan,” katanya.

Beliau menegaskan perjuangan menentang rokok dan vape bukan sahaja berkisar soal kesihatan, malah melibatkan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab generasi akan datang.



Post a Comment

0 Comments