Pensyarah KIAS cemerlang inovasi tempatan, antarabangsa


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 21 September – Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terus membuktikan kemampuan apabila berjaya meraih kecemerlangan pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam pertandingan inovasi di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen tinggi warga akademik KIAS dalam memperkasa budaya inovasi dan penyelidikan.

“Apa yang lebih membanggakan, penyertaan dalam pertandingan ini turut melibatkan pelajar, sekali gus memberi mereka pendedahan awal dalam mengurus projek, membentangkan hasil kerja serta mengasah kemahiran penyelidikan dan komunikasi,” katanya ketika berucap pada sesi pagi, Istiadat Konvokesyen KIAS Ke-25 di Dewan Johor, KIAS, pada Sabtu.

Selain kecemerlangan inovasi, KIAS turut mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan Global World of International Conference 2024 buat julung kalinya, membuka peluang kepada pelajar terlibat secara langsung dalam pengurusan acara bertaraf antarabangsa.

“Pelajar bukan sahaja mendapat pengalaman menganjurkan persidangan, bahkan berpeluang membina jaringan profesional dengan peserta dari pelbagai institusi dalam dan luar negara. Pendedahan seperti ini penting dalam membentuk keyakinan diri, penguasaan komunikasi global serta pemahaman terhadap ekosistem akademik antarabangsa,” ujarnya.

Dato’ Wan Roslan juga menegaskan bahawa kepentingan KIAS dalam memperkukuhkan pendedahan antarabangsa agar pelajar mampu tampil sebagai graduan Rabbani yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga kritis, inovatif dan bersedia bersaing di peringkat global.

“Inilah ciri graduan Rabbani yang kita dambakan yang menggabungkan nilai, ilmu dan kreativiti demi kemajuan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penganjuran Bulan Akademi 2025 pada Oktober depan yang akan menghimpunkan pelbagai aktiviti ilmiah termasuk pertandingan penulisan artikel, ulasan buku, pertandingan poster penyelidikan serta bengkel penulisan proposal bagi pelajar pascasiswazah.

“Inisiatif ini adalah untuk menghargai dedikasi pensyarah dan memberi ruang kepada pelajar mendalami proses penulisan dan penyelidikan, membina pemikiran kreatif serta menyumbang kepada pembangunan ilmu,” katanya lagi.

Dalam masa sama, KIAS turut meluaskan usaha penerbitan buku melalui kerjasama strategik dengan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain merancang penerbitan jurnal ilmiah di peringkat fakulti sebagai platform perkongsian hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar.

“Langkah ini akan memperluaskan penerbitan karya ilmiah serta menjadikan KIAS sebagai pusat rujukan yang berwibawa dalam bidang akademik dan penyelidikan,” tambah beliau.


Sementara itu, Rektor KIAS Profesor Dr. Mazlan Ibrahim menegaskan keistimewaan KIAS terletak pada kombinasi program Pengajian Islam dan Pengurusan di peringkat sarjana muda, yang memberi kelebihan kepada graduan untuk memasuki pasaran kerja tanpa perlu mengikuti kursus pengurusan tambahan.

“Mereka tidak lagi perlu mengikuti kursus pengurusan tambahan kerana telah diajar semasa pengajian di KIAS. Ini satu kelebihan besar bagi graduan kami,” jelasnya.

Tambahnya, KIAS kini telah menawarkan program sarjana dan bakal membuka pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam pada penghujung tahun ini.

“Ini memberi peluang kepada lepasan KIAS untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi, sama ada di KIAS atau institusi pengajian tinggi lain kerana sijil KIAS telah diiktiraf,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments