Pendekatan syariah cegah gejala sosial


SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Penyelesaian kes rogol bawah umur perlu dikembalikan kepada pendekatan syariah dan bukan sekadar bergantung kepada undang-undang ciptaan manusia.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kenyataan Polis Kelantan yang mencadang undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur dengan kerelaan perlu dilihat dalam kerangka syariah.

Katanya, perkara itu bukan sekadar isu lelaki atau perempuan semata-mata.

“Kedua-duanya mesti dipertanggungjawabkan jika terbukti bersalah, namun penyelesaian sebenar ialah melalui undang-undang Allah yang mencegah sejak dari akar lagi,” katanya di sini.

Baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor mencadangkan undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur dengan kerelaan supaya tindakan tidak hanya ke atas pelaku sahaja.

Menurutnya statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, Islam memandang serius jenayah zina dan rogol kerana ia mengancam maruah serta keturunan masyarakat.

“Hukuman yang ditetapkan dalam syariah pula bukan hanya untuk menghukum, tetapi mendidik dan mencegah.

“Cadangan meneliti semula undang-undang sedia ada harus dilihat dalam kerangka Islam yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Kata beliau juga laporan Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan lebih 83,000 anak luar nikah antara tahun 2017 hingga 2021 termasuk lebih 500 kes setahun di Kelantan bukti kegagalan sistem sekular menangani isu sosial.

Sehubungan itu beliau mengajak masyarakat supaya kembali kepada penyelesaian Islam kerana hanya undang undang syariah mampu melindungi maruah dan membina masyarakat bermaruah.

Post a Comment

0 Comments