A RAHMAN HARUN
ALOR SETAR: Agenda pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menjadi nadi kepada perkaderan anak muda bukan sahaja di Kelantan, malah seluruh Malaysia yang melahirkan ramai pemimpin dan tokoh di peringkat negara.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Marwan Husin berkata, buktinya pimpinan yang ada di semua peringkat Dewan Pemuda pasti akan terselit seorang dua lepasan YIK.
Contohnya kata beliau Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Nawi adalah alumni sekolah YIK suatu ketika dahulu.
"Ia sekadar contoh bagi melengkapkan rekod sejarah yang tidak mungkin dipadamkan dan kita di Kelantan turut berbangga dengan pencapaian tersebut," katanya ketika membahas ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini hari ini.
Menurutnya pendidikan yang diselia YIK menjadi model utama kerajaan negeri dalam melahirkan golongan pemuda yang mempunyai jati diri Islam yang tinggi dan mampu mendepani cabaran zamanm
Marwan juga berkata, YIK menjadi agensi pelaksana Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) bagi menerajui sektor pendidikan yang menjadi model kepada Kedah, Terengganu dan Perlis.
Katanya juga YIK mempunyai 93 sekolah merangkumi lapan kategori iaitu Maahad Pilihan, Maahad Kawalan, Maahad Kerajaan, Sekolah Menengah Ugama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Ugama, Tadika dan Pondok Moden.
Malah katanya kerajaan negeri turut membelanjakan tidak kurang RM10 juta sebulan bagi emolumen dan pengurusan YIK dan sekolah kelolaannya yang menjadikan RM125 juta diperuntukkan dalam belanjawan saban tahun.
"Namun apa yang saya cuba bangkitkan ialah sisi penting ini adalah kesungguhan melahirkan modal insan yang ampuh untuk negeri dan negara tanpa menafikan sekolah aliran perdana," ujarnya.
0 Comments