1982 detik penting muncul kepimpinan ulama

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: “Walaupun PAS kehilangan kuasa pada pilihan raya negeri 1978, namun semangat anak muda tidak pernah padam. Mereka tetap mempertahankan perjuangan Islam walaupun dalam keadaan sukar.

“Tahun 1978 menjadi titik hitam apabila PAS kehilangan pentadbiran kerajaan Kelantan akibat tekanan politik pihak lawan dan pergolakan dalaman.

“Selepas kekalahan itu, Pemuda PAS bangkit dengan semangat baru membina kekuatan organisasi dan memperkasa strategi politik serta dakwah,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Mohd Firdaus Mohamed Nawi.

Kata beliau Pemuda PAS menjadi tunjang utama dalam perjuangan jatuh bangun gerakan Islam di negeri itu.

Menurutnya dalam tempoh pentadbiran PAS versi pertama 1959–1978, Pemuda PAS muncul sebagai penggerak utama yang menghidupkan dakwah dan perjuangan Islam dalam masyarakat.

Antara tokoh awal yang membentuk kekuatan sayap Pemuda ialah Ustaz Abd Kadir Said (1966–1967) yang memainkan peranan besar memperkukuh semangat kaderisasi dan tarbiah dakwah.

“Tahun 1982 menjadi detik penting apabila usul memperkasa kepimpinan ulama yang dibawa Dewan Pemuda PAS diluluskan dalam Muktamar PAS Pusat.

"Inilah titik perubahan besar yang membentuk hala tuju baharu perjuangan PAS,” katanya pada wacana sempena sambutan 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam di sini malam semalam.

Beliau juga berkata, inisiatif besar yang dicetuskan Pemuda PAS antaranya penubuhan PASTI pada tahun 1980 sebagai sistem pendidikan awal Islam serta kelahiran Putera Islam Kelantan (1988).

Pemuda PAS juga menubuh Unit Amal yang bermula secara tidak rasmi pada 1988 dan diiktiraf secara rasmi pada 1991.

Unit tersebut bukan sahaja menjadi benteng keselamatan tetapi simbol disiplin, keberanian dan kesetiaan terhadap perjuangan Islam.

Mohd Firdaus turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan besar tokoh-tokoh terdahulu termasuk Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Abdul Samad Gul, yang mati dibunuh secara kejam.

“Darah pejuang inilah yang menjadi baja kepada kebangkitan generasi selepasnya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, hasil kesabaran dan kerja keras Pemuda PAS, Kelantan akhirnya kembali diperintah PAS pada pilihan raya umum 1990.

Kata beliau detik itu menandakan kemenangan fasa kedua PAS di negeri Serambi Mekah.

“Kita mahu generasi muda sekarang memahami sejarah perjuangan tersebut. Pemuda PAS bukan sekadar penggerak parti, tetapi benteng akidah dan maruah Islam. Inilah semangat yang mesti diteruskan,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments