MAIK cipta sejarah rangkul 3 anugerah Musabaqah Qira’atil Kutub Peringkat Asia Tenggara


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 7 Oktober – Delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencipta sejarah apabila membawa pulang gelaran johan, naib johan dan tempat ketiga di Musabaqah Qira’atil Kutub Peringkat Asia Tenggara Kali Pertama 2025 yang berlangsung di Pondok Pesantren As’adiyah Pusat, Sengkang, Wajo, Indonesia, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas serantau.

Dalam Kategori Tafsir, Pegawai Penyelidik MAIK Ustaz Mohd Fauzan Abdullah muncul johan, menewaskan peserta dari Indonesia (naib johan) dan Vietnam (tempat ketiga).

Bagi Kategori Fiqh, dua lagi peserta Malaysia turut menyerlah iaitu Pensyarah Syariah Darul Quran MAIK Ustazah Nurul Afifah Balqeis Roslee meraih naib johan, manakala Imam Tua Masjid Jamek D’ Raja Long Yunus, Langgar Ustaz Wan Saifuddin Wan Abdul Ghani memperoleh tempat ketiga.

Menurut satu hantaran di laman rasmi MAIK, kejayaan tersebut merupakan hasil bimbingan rapi dan kerjasama erat antara MAIK dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penyelaras rasmi penyertaan negara ke pertandingan bertaraf antarabangsa berkenaan.

Program keilmuan yang berlangsung dari 1 hingga 7 Oktober itu menghimpunkan para ilmuwan, ulama, dan pelajar pondok dari seluruh Asia Tenggara bagi mengangkat tradisi turath Islam, memperkukuh ukhuwah serta menzahirkan kecintaan terhadap ilmu warisan ulama.

Kejayaan bersejarah tersebut dilihat menjadi inspirasi kepada warga MAIK dan rakyat Malaysia untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang keilmuan Islam, sekaligus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Post a Comment

0 Comments