Daftar awal mangsa banjir di MYIBJKM - YB Dato' Rohani

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 14 Oktober 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru semua rakyat supaya membuat pendaftaran awal mangsa banjir melalui sistem MYIBJKM bagi memudahkan urusan pendaftaran mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penyaluran bantuan dengan lebih cepat dan berkesan apabila Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 berlaku.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim menekankan bahawa semua petugas banjir di setiap DUN perlu membantu rakyat yang berpotensi menjadi mangsa banjir mendaftar dengan sistem ini bagi memastikan pengurusan mangsa lebih tersusun.

"Mohon kepada semua petugas banjir di DUN untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir supaya segera mendaftar. Jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah ditambah kepada 468 buah berbanding 459 PPS tahun lalu," katanya ketika merasmikan Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan Azman Mohd Zain memaklumkan bahawa setakat ini pendaftaran awal telah mencapai jumlah 38,000 orang.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan Azman Mohd Zain

"Sebanyak 38,000 data telah kita terima untuk pendaftaran awal. Kami menyasarkan 80,000 pendaftaran awal mangsa banjir sebelum tiba Monsun Timur Laut hujung tahun ini " 

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengalu alukan badan korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu kebajikan bencana banjir. 

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki

Beliau turut menyeru semua NGO yang ingin membantu mangsa banjir supaya berdaftar dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Taklimat tahunan tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) /Penyelia DUN, Ketua Pegawai Tadbir DUN, Ketua Penghulu DUN, PIC Banjir DUN, Penyelaras Pembangunan Armalah DUN (PPAD) serta wakil-wakil agensi.

Post a Comment

0 Comments