Kelantan teguh jadikan Islam teras pentadbiran negeri

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 28 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmen menjadikan Islam sebagai teras utama dalam urus tadbir negeri melalui pelaksanaan dasar yang berpaksikan syariat serta berlandaskan nilai-nilai Islam.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pendekatan ini membuktikan bahawa meskipun Kelantan merupakan sebuah negeri kecil di Semenanjung Malaysia, namun keberanian dan keyakinan untuk mendaulatkan Islam sebagai dasar pemerintahan tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Kejayaan ini seharusnya menumbuhkan rasa syukur dalam diri setiap anggota pentadbiran dan seluruh jentera kerajaan negeri, kerana kita semua telah menjadi sebahagian daripada sejarah besar yang memartabatkan Islam sebagai panduan hidup dan dasar pemerintahan."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam kali ke-35, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.


Dato’ Nassuruddin turut merakamkan penghargaan kepada semua warga pentadbiran yang menjadi tonggak kekuatan dalam mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sesungguhnya, tiada ungkapan yang lebih bererti melainkan doa dan penghargaan tulus atas segala khidmat bakti, kesetiaan dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi kelangsungan pemerintahan Islam di bumi Serambi Mekah ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab bahawa kemuliaan sebenar hanya diperoleh melalui Islam dan bukan sumber lain.

Hal ini, jelas beliau, selari dengan prinsip Hawariyyun dalam Pengurusan Ihtirafi yang merupakan salah satu daripada lima prinsip utama kepimpinan yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi memperkukuh budaya profesionalisme dalam kalangan warga pentadbiran.


Menurut YAB Menteri Besar lagi, kekuatan rohani dan keimanan menjadi tunjang keteguhan pentadbiran, namun aspek kecekapan dan kecemerlangan dalam melaksanakan amanah juga perlu diperkasakan bagi memastikan keberkesanan tadbir urus kerajaan.

Beliau turut mengingatkan seluruh warga pentadbiran, lantikan politik serta jentera kerajaan negeri di setiap peringkat agar menjaga elemen keberkatan dalam urusan pentadbiran.

“Keberkatan ialah asas kekuatan sebenar sesebuah kerajaan. Tanpanya, segala pencapaian yang zahir tidak akan membawa makna yang berkekalan. Tanda keberkatan dapat dilihat melalui pertambahan kebaikan, kecemerlangan tadbir urus, peningkatan hasil negeri, kesejahteraan rakyat serta kesepaduan antara pendokong yang sama menggerakkan agenda Islam dan kemajuan negeri,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri kini melangkah ke hadapan dengan penuh komitmen melalui pelaksanaan Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi panduan utama dalam mengemudi pentadbiran negeri menuju Kelantan Sejahtera 2033.


Jelas beliau, PMBI merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk meneguhkan asas pentadbiran berpaksikan prinsip Islam yang menggabungkan kemajuan fizikal dan kesejahteraan spiritual rakyat.

"Kepimpinan dan pentadbiran mestilah berpandu kepada syariat serta tidak tunduk kepada hawa nafsu yang boleh menggugat prinsip perjuangan Islam.

"PMBI digerakkan dengan tiga teras Islam iaitu akidah, ibadah dan akhlak yang menjadi asas kukuh untuk melahirkan pendukung yang ikhlas bekerja kerana Allah, bersikap jujur dalam melaksanakan tugasan dan mempunyai sikap yang positif untuk memenuhi hasil kerja dengan cemerlang," jelas beliau.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato Sri Amar D'Raja Dato' Mohd Amar Abdullah, Mantan Menteri Besar, YB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Ahmad Yakob, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 35 tahun MBI, merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Dato' Ahmad Adlee Yasin dan Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Post a Comment

0 Comments