Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 2 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Islam, untuk melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan sukarelawan Misi Sumud Flotilla yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dalam kenyataan medianya menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu yang turut mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa.
“Seluruh rakyat Malaysia pastinya berdukacita dan mengecam penahanan sukarelawan Misi Sumud Flotilla oleh pihak Israel sebagaimana dilaporkan media awal pagi tadi. Para sukarelawan ini hadir ke Gaza semata-mata untuk misi bantuan kemanusiaan tanpa sebarang kelengkapan bersenjata,” katanya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengambil langkah diplomatik dan rundingan agar semua sukarelawan terbabit dapat dibebaskan dengan segera.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengarahkan seluruh Bahagian Dakwah Halaqat untuk menggerakkan pelaksanaan solat hajat dan qunut nazilah di semua 45 Dewan Negeri (DUN) Kelantan.
“Kerajaan negeri juga menyeru rakyat untuk turut sama melaksanakan solat hajat di kediaman dan tempat masing-masing demi keselamatan sukarelawan Misi Sumud Flotilla,” ujar beliau.
Misi Sumud Flotilla disertai aktivis dan sukarelawan kemanusiaan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, bagi menyalurkan bantuan ke Gaza yang sedang berdepan krisis kemanusiaan akibat sekatan berterusan serta konflik berpanjangan.

0 Comments