Oleh INTAN LESTARI
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memuji Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff atas keprihatinan dan konsistensinya memperjuangkan pembangunan untuk manfaat rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Rantau Panjang komited memperjuangkan usaha menaik taraf perkhidmatan rel kereta api dari Rantau Panjang ke Pasir Mas yang sudah lama terbiar.
"Rantau Panjang bagus semenjak saya kenal beliau tahun 2008, ketika itu sama-sama pembangkang, konsisten memperjuangkan pembangunan rakyat Rantau Panjang.
"Itu saya sokong, saya hormat. Itu sebab saya turun ke Rantau Panjang dan tinjau keadaan sebenar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut memaklumkan status perkhidmatan rel kereta api dari Golok ke Rantau Panjang dan Pasir Mas telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM264 juta.Menurutnya, skop kerja projek tersebut merangkumi pembinaan landasan baharu, pembinaan pagar, naik taraf stesen Pasir Mas dan Rantau Panjang, serta sistem semboyan dan komunikasi moden.
Anthony berkata, projek penaiktarafan landasan Rantau Panjang ini merupakan hasil usaha bersama dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang yang konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
"Projek ini dilulus selepas lawatan saya ke Rantau Panjang pada tahun 2024. Saya ucapkan terima kasih kepada YB atas sokongan konstruktif terhadap inisiatif tersebut," katanya.
Tambah beliau, projek terbabit akan menghidupkan semula laluan Pasir Mas ke Rantau Panjang sebagai laluan alternatif bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo, sekaligus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Katanya projek berkenaan dijangka akan bermula pada tahun 2026 dan siap dalam tempoh tiga tahun.

0 Comments