![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 6 November – Sebanyak 80 peratus atau 624 daripada 770 pelan tindakan di bawah Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) telah dan sedang dilaksanakan oleh jabatan, agensi, urus setia, Pejabat Tanah dan Jajahan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan.
Demikian kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Menurutnya, PMBI yang dilancarkan pada 7 Disember 2023 merupakan kerangka dasar menyeluruh bagi memastikan pengurusan pentadbiran negeri berpaksikan nilai-nilai Islam dalam semua bidang pelaksanaan kerajaan negeri.
![]() |
| Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman |
“Daripada keseluruhan 770 pelan tindakan yang digariskan, 275 telah dilaksanakan sepenuhnya, 349 sedang dilaksanakan, 116 dalam perancangan, dan 30 pelan tindakan sedang dikemas kini bagi diselaraskan dengan dasar serta keutamaan semasa negeri,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Fasa Pertama PMBI (2024–2028) berpandukan Dokumen Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028, manakala Fasa Kedua (2029–2033) akan memberi tumpuan kepada pengukuhan dan penilaian hasil pelaksanaan fasa pertama.
“Secara keseluruhan, 80 peratus pelan tindakan di bawah fasa pertama telah dan sedang dilaksanakan. Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap matlamat membangun negeri berpaksikan kesejahteraan dunia dan akhirat,” ujarnya.
Tambahnya, pelaksanaan dasar PMBI dipantau secaran rapi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) bagi memastikan setiap inisiatif berjalan mengikut objektif yang digariskan.


0 Comments