Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok, lonjak aktiviti rentas sempadan


Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 6 November – Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang menjadi penghubung Kelantan dengan Wilayah Selatan Thai dijangka memberi impak yang signifikan bagi kedua-dua wilayah.

“Antara impak yang positif ialah kerajaan negeri menjangkakan peningkatan rentas sempadan melalui akses dua hala yang lebih lancar bagi nilai import eksport berasaskan pertanian, makanan dan peruncitan.”

Demikian ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelimabelas Tahun 2025, hari ini.

Tambahnya, pembinaan jambatan tersebut juga akan menjadi pemangkin sektor pelancongan yang berkonsepkan pelancongan dua hala, pakej pelancongan sempadan dan potensi pertumbuhan inap desa, penginapan bajet dan perniagaan makanan halal yang dijangka dapat menjana peningkatan ekonomi rakyat.

“Selain itu, ia juga mampu menggalakkan pelaburan dan Perindustrian selaras Rantau Panjang sebagai zon ekonomi khas dan menyokong zon ekonomi bebas,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah.

Mengulas perkara sama, beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut juga menggalakkan pelaburan dan perindustrian selaras dengan Rantau Panjang sebagai zon ekonomi khas dan menyokong zon ekonomi bebas.

“Faktor logistik pula akan memperkukuhkan keselamatan dan kawalan sempadan yang lebih teratur, sistematik dan mesra rakyat.

Ia juga akan memberi kesan rantaian infrastruktur kepada nilaian hartanah sekitar dan peningkatan taraf sosial ekonomi penduduk Rantau Panjang dan interaksi hubungan antara wilayah,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments