PN tawar pendekatan baharu untuk rakyat Sabah

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: PAS dijangka bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah daripada keseluruhan 40 kerusi yang bakal ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan di peringkat PN Sabah difahamkan telah dimuktamad dengan agihan kerusi disusun mengikut potensi kawasan yang boleh dimenangi.

Katanya PAS akan bertanding di Karambunai kerana Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan orang tempatan yang dilihat mempunyai potensi tinggi untuk menang.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi PN akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon dan diumumkan secara rasmi pada 11 November ini.

“PAS juga kini berada pada fasa akhir proses pemilihan calon serta persiapan terakhir menjelang PRN-17 Sabah,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim hari ini.

Kata beliau juga beberapa isu utama dijangka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya, antaranya kes Allahyarhamah adik Zara Qairina serta isu rasuah.

Menurut beliau sekiranya pembangkang bijak membawa isu adik Zara ia boleh memberi kesan besar kepada kerajaan sedia ada.

Namun begitu, jika tersilap langkah, ia juga boleh menjadi ‘backfire’ kepada pihak pembangkang.

Rasuah

Mohd Amar juga berkata, antara punca utama yang membantutkan pembangunan di Sabah masalah rasuah yang menyebabkan peruntukan tidak sampai kepada rakyat.

“Tiada pembangunan bukan kerana tiada peruntukan, tetapi kerana sumber kewangan tidak sampai ke tempat sepatutnya.

“Justeru, PN menawarkan pendekatan baharu untuk membawa perubahan di Sabah demi kesejahteraan rakyat dan kita berharap rakyat Sabah mengambil peluang ini sebaiknya,” katanya.


Menurutnya juga parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah diberi peluang memerintah, namun masih gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Oleh sebab itu PN mahu menawarkan pilihan baharu kepada rakyat Sabah supaya mereka dapat menilai dan membuat keputusan yang terbaik ketika hari pengundian nanti,” ujarnya.

Beliau juga berkata, PN telah sepakat menggunakan logo PN pada PRN Sabah.

 

Post a Comment

0 Comments