ADN Chempaka terus pantau mangsa banjir, empat PPS beroperasi


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 23 November – Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah terus turun padang meninjau keadaan mangsa banjir selepas empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini beroperasi dalam kawasan DUN Chempaka.

Menurut beliau, dua PPS awal telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak dan SK Parang Puting, sebelum dua lagi PPS baharu dibuka hari ini iaitu di SK Kem Pengkalan Chepa dan SK Seri Chempaka bagi menampung pertambahan mangsa.


“Terima kasih dan syabas kepada semua penghulu mukim serta pasukan di bawah penggawa masing-masing yang bergerak cepat menguruskan pemindahan dan memastikan keselamatan penduduk.

"Saya sendiri telah turun membuat tinjauan awal untuk melihat apa yang boleh dibantu segera oleh Pejabat DUN,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi.

YB Nik Bahrum turut memaklumkan bahawa beliau telah melakukan tinjauan selama dua hari di SK Sabak dan SK Parang Puting bersama pasukan Pusat Khidmat DUN Chempaka bagi menyantuni para mangsa.


“Sejak awal pembukaan PPS, saya telah turun memantau keadaan bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan asas mangsa sentiasa terjaga,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala serta memohon orang ramai mendoakan keselamatan semua mangsa banjir.



Post a Comment

0 Comments