Sentiasa berwaspada, berpindah lebih awal jika diarahkan – MB Kelantan


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 23 November — Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dan berpindah lebih awal sekiranya diarahkan pihak berkuasa susulan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Kelantan sejak semalam.

"Melihat sendiri rakyat terpaksa meninggalkan rumah akibat banjir, benar-benar meruntun jiwa,” katanya di laman rasmi hari ini ketika menziarahi mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


Beliau membuat lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan Pauh Sembilan, Sekolah Kebangsaan Tapang dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 bagi meninjau keadaan semasa serta memastikan kebajikan mangsa terjamin.

Menteri Besar Kelantan turut mendengar taklimat daripada ketua jajahan mengenai perkembangan terkini banjir dan kemudahan yang disediakan bagi memastikan bantuan disalurkan dengan segera.

“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama agensi negeri dan persekutuan akan terus bertungkus-lumus memastikan keselamatan, kebajikan serta bantuan untuk mangsa dapat disalurkan dengan segera,” jelasnya.


Turut serta dalam lawatan itu ialah Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim; Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Hussin; ADN Tawang, YB Ustaz Harun Ismail; dan ADN Jelawat, YB Zameri Mat Nawang.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus berdoa supaya Allah mengangkat ujian banjir ini dan mengurniakan kesejahteraan kepada negeri Kelantan.



Post a Comment

0 Comments