A Rahman Harun
KOTA BHARU:
Kerajaan negeri dicadang mewujudkan pejabat Ketua Pembangkang Dewan Undangan
Negeri (Dun) Kelantan menerusi inisiatif pemerkasaan Dun.
Selain itu kerajaan negeri turut dicadang menyediakan pejabat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).
Pejabat Ketua Pembangkang boleh dimanfaat Dato' Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas), manakala pejabat BBC boleh digunakan Dato' Abdul Rahman Yunus (PN-Pasir Tumboh).
Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerajaan negeri untuk manfaat pembangkang dan BBC bagi melancarkan program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
"Saya cadangkan juga peruntukan diberi terus kepada pejabat Dun untuk dimanfatkan bagi pengurusan pejabat BBC dan ketua pembangkang.
"Kita beri elaun sedikit bagi membolehkan dilantik pembantu kerana mereka dipilih oleh rakyat biarpun pembangkang di parlimen dinafikan peruntukan," katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Kelantan 2026 pada persidangan Dun petang semalam.
Wan Rohimi juga berkata, Jawatankuasa Kecil Pemerkasaan Dun Kelantan mengadakan kunjungan ke Dun Sabah dan Dun Selangor bagi memberi pendedahan terhadap pengendalian sistem pentadbiran Dun di negeri terbabit.
Kata beliau biarpun Kelantan belum mampu melaksanakan cadangan tersebut, namun kerajaan negeri boleh merangka persediaan lebih awal dengan memperuntukkan dana khas kepada Pejabat Dun.
"Kita cadangkan diperuntukan diberi terus kepada Dun dengan diselaras pegawai yang dilantik supaya Dun dapat menjalankan pelbagai program.
"Ia termasuk program pembangunan Adun dengan menganjur bengkel, saya yakin ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak dalam usaha membangunkan negeri ini," katanya.


0 Comments