Sempadan Bukit Bunga–Buketa berpotensi jadi hab perdagangan, pelancongan antarabangsa


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 10 November – Kawasan sempadan Bukit Bunga–Buketa di jajahan Tanah Merah berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab perdagangan dan pelancongan antarabangsa hasil kedudukannya yang strategik bersempadan dengan Thailand.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizan Ab Rahman berkata, Bukit Bunga terletak di laluan utama yang menghubungkan bahagian timur dan barat Semenanjung Malaysia serta menjadi pintu masuk penting antara Malaysia dan Thailand melalui sempadan Bukit Bunga–Buketa.

Katanya, berdasarkan Rancangan Tempatan Jajahan Tanah Merah 2020 (Pelanjutan 2025), Bukit Bunga telah dikenal pasti sebagai kawasan promosi pembangunan pelancongan sempadan melibatkan kawasan seluas 143.40 hektar atau 10.30 peratus daripada keseluruhan kawasan Bukit Bunga.

“Kerajaan negeri memberi penekanan kepada kawasan ini untuk memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk utama ke negeri Kelantan amnya dan negara khususnya,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Bunga YB Mohd Almidi Jaafar pada persidangan Dewan Negeri Kelantan hari ini.


Menurutnya, komponen pembangunan utama yang dirancang di kawasan promosi Bukit Bunga meliputi pelbagai sektor termasuk perdagangan, institusi, keselamatan, kemudahan awam dan rekreasi.

Antara projek yang dirancang dalam komponen kawasan perniagaan ialah pembinaan Kompleks Niaga Bukit Bunga, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta tempat letak kereta berpusat, Zon Bebas Cukai, kawasan pusat perniagaan, terminal pengangkutan bersepadu serta kawasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bukit Bunga.

Bagi kawasan institusi dan kemudahan, antara yang dicadang termasuk Pusat Penerangan Pelancongan, masjid, pusat keselamatan pertama melibatkan naik taraf atau perpindahan Balai Polis sedia ada ke tapak baharu serta pembinaan Balai Bomba Bukit Bunga.

Turut dirancang ialah pusat keselamatan kedua yang menempatkan Pusat Kesihatan, Pengkalan UPP, Pusat Kuarantin dan Pangkalan Unit Keselamatan selain kemudahan kuarters kerajaan, asrama pekerja dan asrama pelajar.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk pembinaan Perpustakaan Awam dan Dewan Serbaguna sebagai pusat tumpuan komuniti setempat.

Sementara itu, bagi kawasan lain-lain, perancangan turut meliputi penyediaan kawasan rekreasi seperti taman bandar dan taman linear, pembangunan sistem perhubungan serta sistem infrastruktur utama dan cadangan pengindahan imej bandar bagi memperkukuh identiti Bukit Bunga–Buketa sebagai bandar pelancongan sempadan.

Post a Comment

0 Comments