Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 November – Kerajaan Negeri Kelantan disaran memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi halal utama di Pantai Timur dengan memperkasakan Majlis Halal Negeri Kelantan sebagai badan penyelaras utama dasar dan pelaksanaan industri halal di negeri ini.
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah dalam perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2026.
Beliau mencadangkan perkara itu susulan potensi besar industri halal negara yang mencatatkan nilai eksport RM61.8 bilion pada tahun 2024, dengan sumbangan sektor halal dijangka meningkat kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
"Nilai pasaran halal Malaysia juga dianggarkan mencecah USD50.6 bilion (RM240 bilion). Ini memperlihatkan ruang luas untuk diterokai secara lebih sistematik.
"Dalam konteks negeri Kelantan, potensi ini amat signifikan. Ini kerana ekonomi negeri terus berkembang pada kadar 3.6 peratus dengan nilai KDNK RM28.7 bilion, disokong kuat oleh sektor perkhidmatan 71.1 peratus dan pertanian 21.1 perstus.
"Kedua-dua sektor ini dilihat sebagai teras penting kepada pembangunan ekosistem halal negeri, terutama dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan, logistik, pelancongan Islam dan keusahawanan kecil," jelasnya.
Katanya lagi, sub sektor pemprosesan makanan pula mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus pada 2024, manakala perdagangan rentas sempadan Kelantan–Thailand menyumbang RM6.6 bilion, menjadikan Kelantan berpotensi besar sebagai pintu masuk produk halal ke pasaran Pantai Timur.
"Bagi merealisasikan potensi ini, dicadangkan agar Majlis Halal Negeri Kelantan diperkasakan sebagai pusat sehenti yang menyelaras dasar antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi pusat dan sektor swasta, selain memantau pelaksanaan dan piawaian halal di seluruh Negeri," ujarnya.
YB Zuraidin turut mengesyorkan agar Hab Halal Kelantan dibangunkan di bandar-bandar sempadan strategik seperti Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli dan Tumpat, di samping memperkukuh hab halal sedia ada di Pasir Mas.
"Sebagai langkah promosi, dicadangkan juga pelancaran kempen “Kelantan Halal Gateway” bagi memperkenalkan dan memasarkan produk halal di bawah jenama negeri Kelantan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
"Cadangan ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai pemain utama dalam industri halal negara, seterusnya menjana peluang ekonomi baharu kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan mampan negeri," hurainya.

0 Comments