Ar-Rahn PKB terus jadi tonggak ekonomi ummah

Pengerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB), YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 23 November – Sistem Ar-Rahn terus membuktikan peranannya sebagai instrumen kewangan Islam yang penting dalam membantu ummah melalui kemudahan pembiayaan segera yang selamat, telus dan bebas riba, kata Pengerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB), YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob.

Menurut beliau yang juga mantan Menteri Besar Kelantan, Ar-Rahn bukan sekadar menawarkan kelegaan kewangan jangka pendek, malah menjadi pemangkin kemampanan sosioekonomi umat Islam. Katanya, sistem itu turut memperkukuhkan kedudukan kewangan inklusif dalam kerangka institusi kewangan Islam negara.

“Langkah mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memperkenalkan konsep Ar-Rahn pada 1992 terbukti menjadi teras yang merancakkan ekosistem perkhidmatan mikrokredit patuh syariah yang memberi impak besar kepada rakyat. Cawangan pertama Ar-Rahn PKB dibuka di Jalan Suara Muda, Kota Bharu."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah PKB di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Tambah YB Dato' Ahmad Yakob, Ar-Rahn yang berkembang menjadi simbol dasar Membangun Bersama Islam menunjukkan kemampuan PKB membina institusi berlandaskan syariah yang kukuh, berkesan dan diyakini masyarakat.

“Alhamdulillah, hari ini setelah 33 tahun, kejayaan penerbitan Sukuk PKB dan Maybank merupakan hasil kesinambungan asas yang dibina generasi terdahulu. Ini membuktikan bahawa prinsip syariah mampu mendepani cabaran moden,” ujarnya.


Penyertaan institusi kewangan besar seperti Maybank juga, katanya, menggambarkan bahawa Kelantan memiliki aset ekonomi kukuh serta potensi pembangunan yang luas, selain menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan PKB mengurus instrumen kewangan syariah secara profesional.

Sehingga kini, PKB menguruskan 34 cawangan Ar-Rahn dengan nilai keseluruhan RM330 juta yang merangkumi Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Insya-Allah, kita akan menambah cawangan Ar-Rahn ke Sarawak dan luar negara mengikut kemampuan dari semasa ke semasa,” katanya.

PKB turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh tadbir urus berasaskan syariah, mengembangkan perniagaan mampan serta berisiko rendah demi memajukan sistem pajak gadai Islam di negara ini.

Mengulas mengenai Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah PKB, beliau berkata, dengan nilai program sebanyak RM300 juta, dana tersebut akan digunakan untuk membiayai projek-projek strategik termasuk mengembangkan perniagaan Ar-Rahn, pelaburan emas dan inisiatif ekonomi rakyat.

"Dengan adanya platform terbitan Sukuk ini, PKB kini lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai peneraju pelaburan negeri yang lebih kompetitif," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments