Penduduk Pantai Geting dan Kampung Geting mula berpindah ke PPS SK Pengkalan Kubor 2


Oleh: Syamimi Manah

TUMPAT, 23 November – Penduduk dari Pantai Geting dan Kampung Geting mula dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Pengkalan Kubor 2 susulan hujan berterusan serta peningkatan paras air di beberapa kawasan.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, setakat semalam seramai 160 mangsa telah direkodkan berpindah ke PPS tersebut.

Beliau telah turun membuat tinjauan bagi melihat keperluan mangsa serta memastikan operasi berjalan lancar.


"Meninjau keadaan mangsa banjir yang telah berpindah di PPS SK Pengkalan Kubor 2, setakat ini seramai 160 orang telah dipindahkan dan dijangka terus meningkat kerana hujan masih berterusan. Mangsa yang terlibat adalah daripada Kampung Geting dan Pantai Geting,” katanya di laman rasmi semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menguruskan proses pemindahan dan pendaftaran mangsa.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memudahkan urusan pendaftaran hari ini, termasuk daripada Ameerah dan sukarelawan DUN Pengkalan Kubor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Penggawa dan Kementerian Pendidikan Malaysian (KPM).


"Sumbangan dan kerjasama semua sangat dihargai serta memudahkan proses bagi mangsa banjir,” ujarnya.

Dato' Wan Roslan juga menyeru supaya penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah lebih awal.

Post a Comment

0 Comments