KGT peneraju pembangunan industri hiliran emas di Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 9 November – Kelantan terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat perdagangan emas patuh syariah menerusi peranan aktif Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang menjadi peneraju utama pembangunan industri emas negeri itu sejak tahun 2008.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata penubuhan KGT merupakan langkah strategik kerajaan negeri bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai hab perdagangan emas patuh syariah di rantau ini.

"KGT bukan sekadar menggerakkan aktiviti perdagangan emas, tetapi turut membangunkan ekosistem lengkap industri hiliran emas di negeri ini, termasuk pengeluaran, penjenamaan dan pemasaran pelbagai produk emas tempatan."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah, YB Dato' Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Yang Ketiga Dewan (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.


Katanya lagi, antara produk hiliran yang dihasilkan KGT ialah dinar, dirham, syiling emas, wafer dan jongkong emas, yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur tempatan.

Selain itu, KGT turut memperkenalkan platform digital e-DnD, iaitu sistem tabungan dan pelaburan emas secara dalam talian yang patuh syariah. Platform ini memudahkan masyarakat memiliki serta mengurus simpanan emas dengan lebih selamat, mudah dan efisien.

"Bagi melengkapkan lagi ekosistem industri, KGT juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan seperti simpanan emas bertakaful dan simpanan progresif bagi dana persaraan, sekali gus menjadikan KGT sebagai penyedia solusi menyeluruh dalam pengurusan dan pelaburan emas.

"Untuk menarik minat rakyat menyertai pelaburan emas, KGT turut memperkenalkan khidmat simpanan dirham perak secara tabungan, yang kemudiannya boleh ditukar kepada emas apabila mencapai jumlah tertentu," ujarnya.

Menurut rekod, KGT mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2024 dengan keuntungan melebihi RM200,000 hasil daripada langkah penjenamaan semula dan pengukuhan operasi syarikat.

Kerajaan negeri melihat usaha ini bukan sahaja mampu memperkukuh rantaian nilai industri emas di Kelantan, malah membuka ruang lebih luas kepada rakyat untuk terlibat dalam pelaburan berasaskan aset sebenar.

Usaha sama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta ini turut selari dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menekankan pembangunan ekonomi berteraskan syariah serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Post a Comment

0 Comments