Exco Keusahawanan tinjau ICQS Bukit Bunga, perkukuh kerjasama ekonomi sempadan


Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Unit Media Exco

TANAH MERAH, 4 November - Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi sempadan melalui lawatan kerja Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, semalam.

Lawatan tersebut bertujuan menilai keberkesanan operasi kompleks berkenaan terhadap komuniti setempat serta memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa Thailand dalam memperkasa hubungan perdagangan dan sosial rentas sempadan.

Dato’ Md Anizam berkata, peninjauan itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri menilai perkembangan pembangunan ICQS Bukit Bunga serta mengenal pasti keperluan semasa bagi memastikan kompleks tersebut terus berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa yang berdaya saing dan mesra pelabur.


“Saya diberi taklimat mengenai operasi serta kesan pembangunan kompleks ini terhadap penduduk sekitar. Lawatan ini juga membuka ruang untuk kita melihat potensi baharu kerjasama dengan Thailand, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelancongan sempadan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Beliau turut meninjau bersama wakil kerajaan Thailand ke tapak cadangan Jambatan Kedua Rantau Panjang–Golok, bagi memastikan projek infrastruktur tersebut memberi manfaat optimum kepada rakyat di kedua-dua negara.

“Kedudukan Kelantan yang bersempadan langsung dengan Thailand perlu dimanfaatkan sebagai pintu pertumbuhan ekonomi baharu. Justeru, projek seperti Jambatan Kedua Rantau Panjang–Golok amat penting dalam memperkukuh jaringan logistik dan memperluas pasaran usahawan tempatan,” jelasnya.


Lawatan kerja tersebut turut disertai oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Pengurusan) Negeri Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, serta Ketua Penolong Pengarah Perancangan Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan Tengku Ahmad Zarir Tengku Abdul Rahim.

Hadir sama, Ketua Jajahan Pasir Mas Syamsul Abu Bakar, Timbalan Ketua Jajahan Tanah Merah Nor Azman Md Nawi, dan Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah Mohd Khairil Hazmi Yusof.

Post a Comment

0 Comments