Kelantan benteng kekuatan PAS di Malaysia

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Kekuatan PAS Kelantan kerana pemimpinnya berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam kehidupan seharian sehingga mampu mentadbir negeri sehingga melewati 35 tahun.

Bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang Dr Sanusi Daeng Mariok berkata, kekuatan Islam menjadi asas kebangkitan Kelantan di bawah pentadbiran berteras Membangun Bersama Islam (MBI).

Katanya dasar MBI membentuk wakil rakyat bersikap positif bagi membangun negeri demi kepentingan dunia dan akhirat.

“Keistimewaan Kelantan terserlah kerana kepimpinan negeri diterajui golongan ulamak yang bukan sekadar orang alim, tetapi berilmu dan beramal serta mampu mentarbiah rakyat.

“Pimpinan bukan seperti burung kakak tua yang hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu buat apa-apa. Sebaliknya, pimpinan kita mendidik dan mentarbiah rakyat.

“Inilah kekuatan luar biasa kerajaan PAS Kelantan sehingga berjaya memacu negeri melewati 35 tahun,” ujarnya pada Majlis Mahabbah Kerajaan Kelantan Bersama Mantan wakil rakyat di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Speaker Dun Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Dr Sanusi yang juga bekas Naib Presiden PAS berkata, PAS Kelantan mencapai perkembangan luar biasa kerana seluruh jentera parti bersatu padu.

Menurutnya kekuatan PAS Kelantan menjadi benteng bagi PAS seluruh negara kerana di sini bermula kebangkitan Islam.

Kata beliau sekiranya PAS di Kelantan terus utuh, PAS di negeri-negeri lain juga akan bertambah kuat.

“Saya berharap kerajaan MBI kekal kuat dan pemimpin serta pendukung bekerja bersungguh-sungguh mempertahankan pemerintahan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepentingan memperkukuh semua komponen dalam PAS dan memastikan setiap usaha dilakukan ikhlas kerana Allah.


“Sebagai orang lama saya harap semua pimpinan terus istiqamah mempertahankan kemenangan kerajaan dan kekuatan PAS itu sendiri,” ujarnya.

 

Post a Comment

0 Comments