Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 4 November - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru seluruh kepimpinan negeri agar terus beristiqamah dan bersatu dalam memperkukuh dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi teras pemerintahan Kelantan sejak 35 tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan yang diasaskan sejak 1990 perlu diteruskan dengan penuh keikhlasan dan kesatuan fikrah antara generasi pemimpin terdahulu dan masa kini.
“Pemimpin datang dan pergi, tetapi dasar tidak pernah berubah. Tiada khilaf di antara kita dalam meletakkan Islam sebagai dasar berasaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Daripada slogan MBI pada tahun 1990, ia berkembang menjadi dasar, dan seterusnya diterjemahkan sebagai pelaksanaan di bawah fasa kedua Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MMBI) dan kini fasa ketiga, Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Mahabbah Kepimpinan Kelantan Bersama Mantan Yang Berhormat Kerajaan Membangun Bersama Islam di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut memetik Surah Hud ayat 112, “Fastakim kama umirta” (beristiqamahlah sebagaimana yang diperintahkan), sebagai panduan kepada semua pemimpin agar kekal teguh dalam perjuangan Islam walaupun berbeza pandangan dan pendekatan.
“Istiqamah itu berat. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana seseorang yang pernah memegang amanah dalam kerajaan boleh berpaling daripada perjuangan. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi biarlah dengan hujah. Bermesyuaratlah, buat keputusan dan bertawakal kepada Allah. Kesetiaan kepada perjuangan Islam mesti kekal,” tegasnya.
Menteri Besar turut mengimbas pengalamannya berkempen bersama mantan Ahli Parlimen Rantau Panjang Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok ketika Pilihan Raya Umum 1995 dan menyatakan penghargaan kepada semua mantan wakil rakyat yang hadir dalam majlis tersebut.
“Saya amat terharu dengan kehadiran Dr. Daeng Sanusi yang memandu kereta sendiri dari Bangi ke Kelantan. Pada usia 86 tahun, beliau membuktikan tanda kasih dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
“Saya menyeru agar semua pemimpin dahulu dan sekarang supaya mencontohi semangat Dr. Daeng Sanusi ini. Kita mesti istiqamah untuk terus bekerja sebagai satu pasukan. Kita perkukuhkan benteng Islam dan melebarkan kemenangan di masa depan,” tambahnya.
Sementara itu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok, 86, yang mewakili mantan wakil rakyat, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif menganjurkan majlis yang menghargai jasa saf kepimpinan terdahulu.
“Kerajaan Perpaduan Ummah yang dibentuk pada 1990 telah melahirkan kekuatan luar biasa melalui dasar Membangun Bersama Islam. Dasar ini menjadikan Islam bukan sekadar slogan, tetapi pendekatan positif yang membangunkan negeri untuk kepentingan dunia dan akhirat,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rantau Panjang selama dua penggal. Penggal pertama pada tahun 1990 hingga 1995 dan penggal kedua pada tahun 1995 hingga 1999.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan Kelantan berpaksikan kepimpinan ulama yang bukan sahaja alim, tetapi berperanan mentarbiah rakyat dengan akhlak dan ilmu.
“Kekuatan jemaah Kelantan terletak pada akhlak dan perpaduan. Kita jadikan kesatuan fikrah (wehdatul fikri), kesatuan amal (wehdatul amal) dan kesatuan jemaah (wehdatul jemaah) sebagai pegangan seluruh umat Islam. Harapan saya agar semua pemimpin terus beristiqamah dan bersatu demi Islam,” pesannya.





0 Comments