Rakyat bimbang AS monopoli import REE Malaysia

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan perlu memahami berhubung sumber Unsur Nadir Bumi (REE) yang banyak terdapat di negeri itu dan kepentingan kepada ekonomi negeri.

Adun Belia Dun Chempaka, Arsyad Ismail berkata, terdapat lima perkara penting yang perlu difahami orang ramai.


Pertama, REE merupakan bahan utama dalam penghasilan teknologi moden seperti lampu, peranti pintar, lensa kamera, kaca, magnet dan pelbagai komponen automotif serta industri berat.

Kedua, Kelantan inegeri kedua terbesar yang memiliki sumber REE selepas Terengganu.

Ketiga, jajahan Jeli dan Gua Musang dikenal pasti sebagai kawasan utama yang mempunyai potensi tinggi sumber mineral tersebut.

Keempat, Malaysia dianggar memiliki nilai REE sekitar RM747 bilion dan sebanyak 15.8 peratus daripadanya berada di Kelantan, dianggar bernilai lebih RM118 bilion.

Kelima, REE adalah milik negeri seperti termaktub dalam Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 40 Kanun Tanah Negara 1965 yang meletakkan tanah di bawah bidang kuasa negeri.

“Isu REE kini menjadi perhatian umum selepas perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lepas menimbul kebimbangan terhadap implikasi perjanjian tersebut khususnya berkaitan REE.

“Perjanjian tersebut perlu diteliti secara mendalam bagi memastikan hak negeri tidak tergadai dan hasil bumi Kelantan tidak dieksploitasi tanpa manfaat yang adil kepada rakyat,” katanya di sini.

Arsyad juga berkata, kekayaan sumber REE boleh menjadi kekuatan kepada ekonomi Kelantan sekiranya dikawal dan diurus dengan baik.

Bagaimanapun kata beliau terdapat kegusaran apabila perjanjian Malaysia–AS memperuntukkan klausa yang berbunyi:

Malaysia shall refrain from banning, or imposing quotas on, exports to the United States of critical minerals or rare earth...” (“Malaysia hendaklah mengelakkan daripada melarang atau mengenakan kuota terhadap eksport mineral kritikal atau REE ke Amerika Syarikat...”).

Menurutnya penggunaan perkataan shall dalam konteks perjanjian itu membawa maksud Malaysia tidak boleh sama sekali mengenakan kuota eksport REE kepada Amerika Syarikat, malah tiada had peratusan dinyatakan.

“Ini menimbulkan persoalan besar, adakah ini satu bentuk monopoli kuasa? Mahukah Kelantan sekali lagi berputih mata seperti isu royalti petroleum yang sehingga kini tidak dirasai rakyat?” soalnya.

Kata beliau Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan dasar yang jelas dengan memperincikan hak negeri.

“Kerjasama Persekutuan dan negeri perlu menjadi nadi utama menjayakan visi tersebut. Ini bukan soal warna politik, tetapi soal kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.

Post a Comment

0 Comments