Mangsa banjir di PPS utamakan solat berjemaah

 

Oleh Intan Lestari

RANTAU PANJANG: Mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diingatkan supaya sentiasa menjaga solat dan berdoa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mangsa banjir hendaklah sentiasa menjaga kebersihan, aurat bagi wanita dan solat secara berjemaah.

“Mangsa-mangsa banjir jangan tinggal solat dan penuhkan masa dengan mencari ilmu. Kita harap mereka bersabar dengan dugaan daripada Allah,” katanya selepas melawat PPS Gual Tinggi semalam.

Menurut beliau juga jumlah mangsa banjir di PPS Gual Tinggi seramai 200 orang daripada 60 keluarga, manakala PPS Tok Deh menempatkan 300 mangsa banjir.

Pada lawatan tersebut Siti Zailah menyampaikan penghargaan kepada petugas serta sukarelawan yang menyediakan makanan di PPS berkenaan.

Sebelum itu ketika dalam perjalanan menuju ke PPS beliau melewati kawasan lokasi kemalangan melibatkan seorang pelajar. Mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan.

Selepas meninjau PPS Siti Zailah menziarahi penduduk yang kematian ahli keluarga di sebuah kampung.  

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, paras Sungai Golok berada pada tahap bahaya dan banjir di Rantau Panjang naik secara perlahan.

 

Post a Comment

0 Comments