Keselamatan digital kanak-kanak membimbangkan, kerajaan digesa ambil pendekatan seimbang


Oleh: Asri Hamat

KUALA LUMPUR, 4 November – Isu keselamatan digital kanak-kanak kian membimbangkan susulan peningkatan risiko pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan pengaruh negatif dalam talian, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan untuk menyeimbangkan antara perlindungan sosial dan pembangunan ekonomi digital negara.

Ahli Dewan Negara YB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusof berkata, kerajaan wajar mengambil pendekatan bersepadu dan seimbang bagi memastikan ruang digital di Malaysia menjadi persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak tanpa mengekang pertumbuhan ekonomi digital.

“Sudah tiba masanya Malaysia menilai semula kerangka perundangan serta pengawalseliaan platform permainan dalam talian bagi melindungi pengguna bawah umur daripada risiko kandungan tidak sesuai,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan penarafan umur dan pelesenan permainan dalam talian di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia, selain memperkukuh mekanisme penguatkuasaan mod kanak-kanak (child mode) pada aplikasi digital.

Menurutnya, mod tersebut perlu menghadkan interaksi sosial dan transaksi mikro dalam talian, disertai dengan pendidikan literasi digital kepada ibu bapa dan guru, serta kerjasama strategik dengan pengendali platform antarabangsa bagi memastikan kandungan mematuhi piawaian keselamatan global.

Dr. Wan Martina turut mencadangkan penubuhan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak (MKDKK) di bawah penyelarasan bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Pendidikan.

Katanya, majlis tersebut berperanan menilai risiko platform digital secara berkala, menyelaras tahap keselamatan aplikasi mesra kanak-kanak, melaksanakan kempen keselamatan siber keluarga, serta membangunkan Indeks Keselamatan Digital Kanak-Kanak Malaysia sebagai penanda aras dasar awam negara.

“Pendekatan ini lebih mampan berbanding langkah pengharaman sementara terhadap permainan dalam talian seperti Roblox yang baru-baru ini dibangkitkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Nancy Shukri.

“Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan menyeimbangkan antara keselamatan sosial dan kemajuan ekonomi digital,” katanya.

Mengulas insiden tragis di Batu Paha, yang menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dipercayai akibat pengaruh permainan video, Dr. Wan Martina menegaskan kejadian itu perlu menjadi peringatan penting bahawa dunia digital tidak bebas daripada risiko sebenar.

Beliau turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan mengingatkan masyarakat agar tidak membuat kesimpulan awal sebelum siasatan pihak berkuasa selesai.

“Tindakan kerajaan perlu berpaksikan kepada pendidikan, pengawalan berhemah dan kerjasama pelbagai pihak, bukan semata-mata bergantung kepada larangan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikelar dan ditikam oleh abangnya di Batu Pahat, dipercayai terpengaruh oleh permainan video dalam talian.

Post a Comment

0 Comments