![]() |
| Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 6 November – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim menjelaskan bahawa seramai 200,909 armalah di seluruh Kelantan telah menerima bantuan adhoc antara tahun 2020 hingga 2025, dengan jumlah peruntukan keseluruhan melibatkan RM5.4 juta di bawah inisiatif Bantuan Adhoc dan Sosio Ekonomi Armalah.
Menurutnya, pada tahun 2020, sebanyak 50,287 penerima menerima bantuan berkenaan, diikuti 29,822 orang (2021), 30,489 orang (2022), 32,700 orang (2023), 28,758 orang (2024) dan 28,853 orang (2025).
“Bantuan ini diberikan bagi meringankan beban kewangan armalah dan anak yatim, khususnya dalam menghadapi keperluan mendesak serta memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga yang kehilangan ketua isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
![]() |
| Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman |
Dalam usaha jangka panjang memperkasa ekonomi golongan armalah, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai program pembangunan sosioekonomi, antaranya: Program Jana Ekonomi Armalah, Kelas Jahitan dan Latihan Kemahiran dan Program Kembara Armalah
Termasuklah Bantuan Tabung Usahawan Wanita dan Kursus dan bimbingan Keusahawanan.
“Sehingga kini, sebanyak 1,695 penerima telah mendapat manfaat melalui Bantuan Sosioekonomi Armalah, manakala 288 penerima menerima bantuan daripada Tabung Usahawan Wanita,” jelasnya.
Dato’ Rohani turut menegaskan bahawa pendekatan bantuan bersifat adhoc dan lestari tersebut bertujuan memberi kelegaan sementara dan turut memupuk keberdayaan ekonomi dan jati diri dalam kalangan armalah agar mereka mampu berdikari dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.


0 Comments