Kelantan perkukuh kerjasama strategik dengan JPP, pastikan projek RMK-12 capai matlamat


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 10 November - Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berjalan mengikut jadual dan mencapai matlamat kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah pada Persidangan Dewan Negeri Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ke-15, pada hari ketiga, hari ini.

Menurutnya, pendekatan utama kerajaan negeri ialah penyelarasan rapi dan pemantauan berfasa melalui beberapa platform mesyuarat strategik yang melibatkan Kerajaan Negeri, JPP serta agensi pelaksana.

“Setiap projek pembangunan dipantau secara berstruktur melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) yang saya pengerusikan sendiri. Mesyuarat ini menjadi medan penyelarasan keputusan penting antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Selain itu, pemantauan turut diperkukuhkan melalui Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNG) yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dipengerusikan Ketua Jajahan, dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang turut dipengerusikan Menteri Besar pada peringkat negeri.

Ujarnya, mekanisme ini membolehkan isu berkaitan pelaksanaan projek diselesaikan segera melalui tindakan rentas agensi.

Mengulas mengenai prestasi projek di bawah RMK-12, Menteri Besar menegaskan bahawa Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menjadi agensi penyelaras utama dalam memastikan kemajuan projek sentiasa dikemas kini.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap projek yang lewat. UPEN akan memanggil mesyuarat portfolio atau mesyuarat khas bagi meneliti isu dan mengambil tindakan pembetulan segera,” tegasnya.

Tambahnya, keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan rakyat merasai manfaat pembangunan secara langsung, khususnya dalam penyediaan prasarana, peluang pelaburan dan peningkatan kecekapan perkhidmatan.

“Kerjasama erat dengan JPP bukan hanya soal koordinasi, tetapi memastikan hasil pembangunan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat. Itu adalah komitmen kita,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments