PBT Perketat Tindakan Banteras Isu Anjing Liar di Kelantan


Oleh : Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 10 November – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri mempergiat usaha membanteras masalah haiwan liar, khususnya anjing berkeliaran, melalui pelaksanaan undang-undang sedia ada di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Binatang 1953.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, PBT mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 73 dan Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membolehkan majlis menggubal undang-undang kecil bagi mengawal haiwan yang berkeliaran di tempat awam.

Tambahnya, Seksyen 80 akta yang sama turut memberi kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan notis kepada pemilik haiwan supaya tidak membiarkan haiwan mereka merayau bebas. Kegagalan mematuhi notis tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“PBT juga melaksanakan penguatkuasaan melalui Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangkap, menyita serta mengenakan kompaun atau denda terhadap pemilik haiwan yang cuai,

Selain itu, penguatkuasaan pelesenan anjing sedang giat dijalankan di seluruh negeri dengan kadar bayaran sebanyak RM20 bagi lesen dan RM10 bagi lencana besi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor, YB Saizol Ismail, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.


Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah haiwan liar, khususnya anjing yang dijangkiti penyakit berbahaya seperti rabies.

Tindakan ini dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 32 hingga 42 Akta Binatang 1953, yang memperuntukkan kawalan terhadap penyakit zoonosis, iaitu penyakit yang boleh merebak dari haiwan kepada manusia.

Bagi memastikan keselamatan awam, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies (tembakan) turut dijalankan secara berkala melibatkan semua PBT di negeri Kelantan sebagai langkah pencegahan dan kawalan berterusan terhadap penularan penyakit tersebut.

Langkah tegas ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan kebersihan, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.

Post a Comment

0 Comments