Kelantan pertingkat pemantauan banjir bersama JPS


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Izani

KOTA DARULNAIM, 27 November 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin menekankan kepentingan pemantauan rapi paras air sungai dan sistem saliran oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri bagi menghadapi musim tengkujuh.

Beliau menjelaskan, JPS Negeri Kelantan memikul peranan kritikal dalam memastikan keselamatan rakyat dengan memantau paras sungai, saliran air dan tebatan banjir di kawasan berisiko.


“Setiap kali musim tengkujuh datang, JPS Negeri Kelantan akan menjadi salah satu agensi paling kritikal. Paras sungai, saliran air, tebatan banjir dan sebagainya menjadi seliaan dan tanggungjawab mereka,” katanya di laman rasmi pada Selasa.

Beliau telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan Exco YB Saizol Ismail dan Pengarah JPS Kelantan YBrs. Ir. Ts. Gs. Dr. Siti Fairus bagi meneliti perkembangan terkini isu banjir di negeri ini bagi memastikan langkah pencegahan dan kesiapsiagaan dilaksanakan dengan berkesan.

Dato’ Dr. Izani turut menasihati rakyat supaya sentiasa berhati-hati, terutama golongan muda, dan tidak mengambil risiko bermain di kawasan banjir.

“Saya memohon supaya seluruh rakyat berhati-hati di waktu ini. Kelihatan video anak-anak bermain air banjir tapi sentiasalah jaga diri. Jangan sehingga kegirangan bertukar tangisan. Jaga diri dan komuniti,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments