Tahap ketakwaan rakyat Kelantan meningkat

Oleh A Rahman Harun

KOTA BHARU: Kajian Indeks Sosial Takwa menjadi indikator utama kejayaan pelaksanaan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Inisiatif tersebut diterajui Pusat Kajian Strategik Kelantan sejak tahun 2018 menunjukkan pencapaian membanggakan termasuk membentuk sahsiah rakyat selain benteng kepada keruntuhan moral.

Kajian tersebut turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Kajian Indeks Sosio Takwa melihat tahap takwa dan kepatuhan rakyat secara menyeluruh di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

"Kajian terbabit bukan sahaja dibuat oleh kerajaan negeri, bahkan UTP pernah buat kajian dan mendapati tahap ketakwaan rakyat kita meningkat," katanya menjawab soalan tambahan Dato' Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Menurutnya berdasar kajian tersebut memberi gambaran yang positif, biarpun ada sesetengah pihak memberi pandangan sebaliknya.

Terdahulu beliau menjawab soalan Shaari Mat Yaman (PN-Bunut Payong) yang bertanyakan mengenai keberkesanan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam sejak dilancarkan pada 2023.

Menteri Besar berkata, PMBI digubal sebagai perancangan pembangunan selama 10 tahun bermula 2023 sehingga 2033, yang dilaksanakan secara berperingkat melalui dua fasa.

Fasa pertama 2024-2028 berpandukan dokumen hala tuju portfolio kerajaan negeri dan fasa kedua 2029-2033 memberi tumpuan terhadap pengukuhan dan penilaian pencapaian fasa terdahulu.

Kata beliau, pemantauan hala tuju protfolio kerajaan negeri 2024-2028 menjadi komponen utama PMBI yang dilaksanakan jabatan kerajaan negeri, urusetia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

 

Post a Comment

0 Comments