Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 November — Industri emas patuh syariah di Kelantan terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), mencatatkan jumlah jualan bernilai RM119 juta sehingga tahun 2024.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata perkembangan itu membuktikan keyakinan tinggi pelanggan terhadap produk emas keluaran KGT serta keberkesanan strategi kerajaan negeri memperkukuh industri hiliran emas melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Ketiga Dewan (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, penubuhan KGT merupakan langkah berstrategi tinggi bertujuan menjadikan Kelantan sebagai pusat perdagangan emas patuh syariah di rantau ini.
“KGT terlibat dalam pelbagai aktiviti hiliran termasuk pengeluaran, penjenamaan dan pemasaran produk emas seperti dinar, dirham, syiling emas, wafer dan jongkong emas,” katanya.
KGT turut memperkenalkan platform digital e-DnD, sistem tabungan dan pelaburan emas secara dalam talian yang mematuhi prinsip syariah, membolehkan masyarakat menyimpan emas dengan lebih selamat dan efisien.
Selain itu, KGT juga bakal menawarkan perkhidmatan simpan emas bertakaful, dan program simpanan progresif untuk dana persaraan yang dijangka melengkapkan ekosistem pelaburan emas sebagai solusi komprehensif untuk rakyat.
“KGT juga komited memudahkan akses pelaburan emas melalui pilihan simpanan dirham perak yang boleh ditukar kepada emas,” tambahnya.
Hasil strategi komersial yang lebih dinamik, KGT berjaya mencatat keuntungan melebihi RM259,000 pada tahun 2024.
Sejak memulakan tawaran pembelian balik dinar dan dirham pada tahun 2016, KGT telah merekodkan transaksi bernilai RM15.7 juta.
Tambahnya, bagi memperkukuh kedudukan di pasaran, KGT turut memperluas jaringan pemasaran melalui pembukaan 12 cawangan baharu KGT BizPoint di seluruh Malaysia, serta mengukuhkan kerjasama strategik bersama rakan industri.


0 Comments