Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 10 November — Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus memperkukuh sektor perlombongan negeri dengan menjalinkan beberapa usahasama pajakan melombong bersama syarikat-syarikat beroperasi secara sah.
Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara syarikat yang terlibat dalam kerjasama tersebut ialah CMNM Mining Group Sdn Bhd, Prima Warisan Ventures Sdn Bhd, Fortune Mineral Resources, Sri Damar Mind Trading Sdn Bhd, dan Uzi Gold Mining Sdn Bhd.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memastikan semua syarikat berkenaan mematuhi peraturan dan garis panduan perlombongan yang ditetapkan.
"Langkah ini bertujuan memastikan setiap operasi dijalankan dengan penuh tanggungjawab, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta kesejahteraan komuniti setempat.
"Selain itu, pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan aktiviti perlombongan di negeri ini dilaksanakan secara selamat, mampan dan selaras dengan piawaian alam sekitar."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Galas YB Dato' Mohd Shah budin Hashim, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ketiga hari ini.
Kerajaan negeri komited untuk memastikan sektor perlombongan terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Kelantan tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar dan kepentingan rakyat.

0 Comments