Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 23 November – Keusahawanan dalam Islam lebih dekat dengan istilah berniaga dan ia menjadi antara usaha yang sangat digalakkan sebagai medan pembentukan akhlak mulia, integriti dan keberkatan rezeki, kata Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang usahawan berjaya yang terkenal dengan akhlak terpuji, amanah dan disiplin sehingga digelar al-Amin kerana tingginya integriti baginda.
“Sebab itu budaya berniaga bukan sahaja menjadi ruang pengukuhan ekonomi tetapi juga menjadi medan pembentukan akhlak mulia, integriti dan keberkatan rezeki,” katanya ketika merasmikan Malam Gala Usahawan Kelantan 2025 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berniagalah kamu kerana sesungguhnya melalui perniagaan itu, Allah sediakan pintu rezeki sebanyak 90 peratus.”
Hadis tersebut, jelasnya, menunjukkan betapa luasnya pintu rezeki yang disediakan Allah melalui bidang perniagaan serta galakan Islam agar umatnya berusaha sendiri dalam mencari pendapatan.
Mengulas hala tuju ekonomi negeri, Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri Kelantan kini memberi tumpuan kepada lima fokus utama dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negeri.
Lima fokus utama tersebut meliputi pelaburan berkualiti yang mampu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat; pembangunan industri moden berasaskan teknologi termasuk sektor digital; pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro sebagai tulang belakang ekonomi rakyat; pengukuhan modal insan melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang merangkumi latihan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat; serta pembangunan ekonomi digital dan inovasi bagi memastikan Kelantan kekal berdaya saing di peringkat nasional dan global.
Kelima-lima fokus itu, katanya, menjadi teras strategi ekonomi negeri ke arah mewujudkan Kelantan yang lebih sejahtera, makmur dan berdaya tahan.
“Tumpuan kita bukan sahaja pada perniagaan tetapi juga kepada pembangunan industri dan tenaga kerja tempatan. Kerajaan negeri ingin melihat anak-anak Kelantan memperoleh peluang pekerjaan yang baik, berkemahiran tinggi dan menerima gaji setimpal,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri sedang memperkukuh pemadanan kepakaran antara industri dan institusi TVET bagi memastikan latihan kemahiran moden, pendedahan teknologi baharu serta peluang pekerjaan dapat dimanfaatkan melalui kemasukan pelaburan berkualiti ke dalam negeri.


0 Comments